Ahli UMNO terutama perwakilan yang hadir pada perhimpunan agung parti kali ini disaran bukan sahaja mendengar ucapan kepimpinan parti serta pembahas yang berucap, malah perlu bermuhasabah secara mendalam apakah UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan masih kekal lagi berkuasa pada pilihan raya umum akan datang jika sikap yang ada hari ini tidak masih berubah.
Exco Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata pembangkang sama sekali tidak boleh menghancurkan parti keramat berkenaan tetapi perlu diingat, UMNO boleh hancur dengan tindak tanduk mereka sendiri.
Menurut beliau perbalahan serta sikap mementingkan diri sendiri tidak akan membantu parti malah akan menjadi kudis dan nanah yang bakal merosakkan masa depan parti yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini.
“Pembangkang nak jentik kita tidak boleh…Percayalah. Yang boleh menggoyangkan parti adalah diri kita sendiri.Nak kejar apa lagi. Pilihan raya makin hampir dan rakyat menilai kita. Kita kena buktikan kepada mereka bahawa UMNO telah berubah.
“Kita kena bekerja keras dan bukannya saling bermusuhan sesama kita. Sebab ituah saya ingin mengingatkan semua termasuk diri saya untuk menjadikan perhimpunan kali ini untuk sama-sama kita menilai dan bermuhasabah apa yang sepatutnya,” katanya.
UMNO sekali lagi akan menjadi tumpuan umum apabila akan mengadakan perhimpunan agungnya pada 19 hingga 23 Oktober ini, di PWTC.
Tengku Azman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang seterusnya berkata gerak kerja juga perlu dipertingkatkan bukan sahaja 100 peratus malah 200 peratus.
“Ini juga kita perlu utamakan kerana masa makin suntuk. Gerak kerja juga haruslah bersatu padu dan bukannya secara berasingan dalam usaha menghasilkan satu impak yang positif kepada rakyat khususnya golongan muda.
“Ini adalah untuk semua dan bukannya untuk Presiden arti sahaja kerana UMNO bukanlah hak milik ekslusif sesiapa. Justeru marilah kita sama-sama beriltizam untuk melonjakkan lagi parti demi kesinambungan kejayaan parti,” katanya.
No comments:
Post a Comment