www


Friday, February 18, 2011

Maksiat Kelantan: Nik Aziz Perlu Panggil Ropein Hassan


Perjuangan Nik Aziz ialah perjuangan politik. Mahu mendapatkan kuasa politik dengan alasan mahu memartabatkan Islam. Itu adalah satu alasan yang legitimate.
Setelah 21 tahun memerintah Kelantan, adalah mustahil untuk menidakkan kefahaman eksekutif-eksekutif di Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam tentang pentadbiran secara Islam yang dijalankan oleh Kerajaan PAS Kelantan.
Dengan status Bandar Raya Islam, MPKB memikul tanggungjawab paling berat berbanding dengan PBT lain di seluruh Malaysia ini. Implikasinya sudah harus disedari.
Bagaimanapun, PAS tidak melihat implikasi itu kerana selama ini kekuatannya ialah pada undi orang-orang Islam. Bagaimanapun semenjak 2008, PAS semakin kuat memancing undi bukan Melayu.
Secara tidak langsung, penguatkuasaan agenda Islam di dalam PAS turut mula di kompromi, bukan sahaja di tempat-tempat seperti Shah Alam tetapi juga di Kota Bharu Bandar Raya Islam. Kini terdapat dua pendekatan berbeza di dalam perlaksanaan Islam PAS. Secara mudah boleh dikatakan satu ialah pendekatan Nasruddin Tantawi dan satu lagi ialah pendekatan Khalid Samad.
Ketegasan PAS dalam hal-hal moral mula gendur. Dulu PAS mengambil pendekatan keras mengharamkan segala yang haram, sekarang pendekatan PAS ialah pengharaman sesuatu walau di tegas di dalam Al Quran, perlu dilaksanakan berperingkat-peringkat dan disertakan dengan pemahaman yang jelas.
Alasan yang diberikan mudah, UMNO dan Barisan Nasional telah 50 tahun menjahanamkan masyarakat Islam di Malaysia, dan PAS tidak boleh mengubahnya dengan sekelip mata. Tanpa disedari, PAS akhirnya mengambil pendekatan yang dilaksanakan atau di amalkan oleh UMNO dan BN sebelum ini bila berdepan dengan kemelut di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
PAS sedar, dasar yang sama di Kelantan tidak boleh digunapakai di negeri-negeri lain. Di Kelantan sejak 1990, kesemua wakil rakyatnya beragama Islam. Kesemua ahli exconya beragama Islam dan kesemua parti politik yang menang adalah parti politik Islam.
Selepas 2008, barulah PAS menyedari polemik yang di hadapi oleh UMNO di dalam menerajui Malaysia.
Mengapa mahu dibandingkan maksiat di negeri-negeri lain dengan negeri Kelantan? Penyokong tegar PAS harus sedar, mereka sudah berada dalam pakatan pemerintah di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Mereka juga menguasai hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan. Apakah kadar maksiat di negeri-negeri dan wilayah itu lebih rendah sejak 2008 berbanding dengan Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Perlis dan Pahang?
Saya sendiri menyaksikan kerancakan maksiat tumbuh di Selangor dan Pulau Pinang selepas 2008. Pulau Mutiara kini dikenali dengan jolokan Little Hatyai. Dr. Hassan Ali dan Salleh Man perlu berusaha lebih keras mengatasi maksiat yang berleluasa di Selangor dan Pulau Pinang. Atau Hassan Ali boleh letak jawatan sebagai exco dan Salleh Man boleh turun dari jadi ADUN PAS di Pulau Pinang.
PAS sebenarnya sedar kerumitan berkongsi kuasa dengan parti-parti politik yang tidak memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.
Ini juga disedari oleh MPKB Bandar Raya Islam dan diambil kesempatannya oleh segelintir individu-individu tertentu. Menuduh masih terdapat ramai eksekutif warisan UMNO dalam MPKB-BRI yang menyebabkan ia tidak berfungsi seperti dikehendaki adalah kebodohan yang amat sangat.
Selama 21 tahun pelbagai ustaz mendapat tempat di dalam MPKB-BRI bukan kerana mereka berkemahiran atau berpendidikan dalam pengurusan PBT tetapi kerana mereka adalah aktivis atau pimpinan pelbagai peringkat PAS.
Anak Menteri Besar sendiri dan saudaranya sudah beberapa lama menikmati habuan dari MPKB-BRI. Menuduh UMNO masih berkuasa bererti dayus sangatlah Nik Abduh.
Apa yang berlaku ialah, penguatkuasaan peraturan-peraturan moral secara tegas oleh MPKB-BRI akan mengembalikan PAS kepada imej Taliban dan merbahaya kepada order baru politik PAS.
Dahulu PAS menjual partinya kepada orang-orang Islam, jadi taktiknya ialah menakut-nakutkan mereka dengan hukum-hukum Allah. Sekarang PAS turut terpaksa menjual partinya kepada bukan Islam, jadi elemen menakut-nakutkan manusia dengan kisah-kisah ngeri tidak lagi boleh digunakan.
Apapun, Nik Aziz perlu memanggil Ustaz Ropein Hassan, bukan kerana kesalahan memakai kopiah ke pusat maksiat tetapi ada beberapa perkara yang tidak selesai. Jawapan Ustaz Ropein bahawa beliau telah membuka kopiahnya bila sampai ke tempat maksiat boleh diterima dan tidak disanggah oleh mana-mana saksi.
Tetapi Nik Aziz perlu memulakan siasatan mengapa pusat-pusat maksiat tumbuh seperti cendawan di Kelantan sejak kebelakangan ini. Siapakah di belakangnya? Biar ia bermula dengan menyoal jawab MPKB-BRI dan Ropein Hassan

No comments: